Judul : Bertunang tanpa sedar? Ini hukum yang kita kena tahu
link : Bertunang tanpa sedar? Ini hukum yang kita kena tahu
Bertunang tanpa sedar? Ini hukum yang kita kena tahu
Kepada sesiapa yang ikut perkembangan hiburan kat Malaysia, mesti ada dengar cerita pasal artis yang baru je putus tunang baru-baru ni. Sebenarnya ramai je yang putus tunang, tapi disebabkan diorang ni artis, maka jadilah berita.
Kita jugak selalu dengar istilah ‘darah manis’ yang selalu ditujukan kat orang nak kahwin (orang yang dah bertunang). Secara mudahnya, darah manis ni istilah untuk seseorang tu untuk berhati-hati sebelum sampai hari perkahwinan. Jadi, banyaklah pantang larang yang diorang ni kena ikut. Macam orang kena kencing manis jugaklah, ada banyak benda tak boleh makan/minum.
Tapi apa yang lebih penting, selaras dengan kedatangan Islam dan kesedaran yang ada, amalan percaya dengan pantang larang ni dah tak diamalkan lagi. Kalau korang nak tahu, bertunang sebenarnya bukan sekadar adat, tapi ia juga antara perkara yang ada dalam agama. Tapi korang pernah dengar tak istilah ‘bertunang tanpa sedar’? Macam mana pulak tu?
‘Bertunang tanpa sedar’ boleh jadi walaupun dalam WhatsApp
Dalam WhatsApp pun boleh bertunang, biar betul? Itu mungkin apa yang korang fikir sekarang ni. Untuk faham maksud benda ni, kita kena tahu dulu apa yang dimaksudkan dengan meminang dalam Islam. Ahli fikah mentakrifkannya sebagai:
“…apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Keadaan ni boleh jadi dalam banyak keadaan termasuklah masa diorang berborak, cakap dalam telefon dan berbalas mesej (WhatsApp, Telegram, Messenger dan sebagainya). Contohnya dalam ayat yang macam ni:
Lepas belajar nanti, awak kahwin dengan saya ya?
Okey, saya nak kahwin dengan awak.”
Persetujuan macam ni pun sebenarnya dah dianggap sebagai persetujuan dan pertunangan, walaupun tanpa pengetahuan keluarga. Tapi kalau seorang bapa tu ada buat perjanjian dengan orang lain supaya anaknya akan berkahwin dengan anak orang tu, ia tak dianggap sebagai bertunang sebab anak diorang masih lagi belum bagi persetujuan.
Hal ni pun sama dalam kes berlakon, contohnya dalam skrip ada dialog macam kat atas tadi. Tu tak dikira sebagai bertunang sebab bukan atas persetujuan kedua-dua pihak. Sebabnya, syarat utama dalam hal ni adalah perempuan dan lelaki tu mestilah dalam keadaan bersetuju, waras, tak gila, tak mabuk dan baligh.
Allahyarham Haron Din pernah kata yang pertunangan adalah mukadimah bagi perkahwinan.
“Orang Melayu ni tidak, nak bertunang kena bawa rombongan ke rumah perempuan. Itu adat dan itu bukan hukum… Kena pakai hukum Islam dulu, hukum adat tu nombor dua. Tapi nak ikut adat hantar rombongan itu semua, itu sebenarnya bagus. Tapi ini nak cerita dalam hukum fikah.” – Ustaz Azhar Idrus, dipetik dari Ustaz Azhar Tube.
Pertunangan lebih baik dirahsiakan dan jangan dihebohkan
Walaupun secara hukumnya pertunangan tu boleh jadi tanpa ada persetujuan ibu bapa kedua-dua pihak, tapi dan semestinya lebih baik kalau pertunangan tu dibuat secara rasmi dengan pengetahuan ibu-bapa. Sebabnya, keadaan macam tu lebih selamat dan lebih mudah difahami. Walaupun macam tu, pertunangan masih lagi kena dirahsiakan dan tak dihebohkan.
“Majlis ini dilangsungkan secara tertutup dan tidak dihebahkan seperti majlis perkahwinan. Pertunangan hanya melibatkan kaum keluarga terdekat. Berhubung dengan perkara tersebut Rasulullah (SAW) pernah bersabda (maksudnya): ‘Umumkan perkahwinan dan rahsiakan pinangan’.” – Dipetik dari jurnal tulisan Norhuda Salleh & Yaacob Harun.
Kebanyakan ulama berpendapat pertunangan ni cuma harus, tapi dalam Mazhab Syafie ia dianggap sunat. Apa yang lagi penting, pertunangan ni kena pulak dirahsiakan sebab tujuan utama pertunangan adalah untuk bagi masa kat kedua-dua belah pihak untuk saling kenal mengenal. Selain itu, ia juga boleh elakkan pertunangan tu diganggu dengan orang yang dengki.
“Ironinya, perkara ini kelihatan berbeza dengan amalan masyarakat kita yang lebih teruja untuk menghebahkan majlis pertunangan. Malah sesetengahnya berasa bangga dengan status menjadi tunangan orang. Sedangkan keadaan itu hakikatnya sudah agak lari dengan konsep pertunangan yang dianjurkan oleh agama.” – Siti Shamsiah Md. Supi, Pegawai Penyelidik Kanan IKIM. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Tapi macam mana pulak kalau seseorang tu meminang tunangan orang, apa pulak hukumnya?
Hukumnya haram meminang tunangan orang
Menurut Islam, haram untuk seseorang lelaki tu meminang perempuan yang dah jadi tunang orang. Tapi kalau lelaki tu tak tahu yang perempuan tu dah bertunang dan dia masuk meminang jugak, hal ni boleh dimaafkan lagi sebab tak tahu. Jadi terserah kepada pihak perempuan untuk tolak pinangan tu dan kata yang dia dah bertunang.
Hadis Nabi ada sebut perkara ni secara khusus:
“Dan janganlah seseorang dari kalian meminang pinangan seseorang yang lain.” – Hadis riwayat Muslim.
Jadinya, ulama sepakat kata yang haram hukumnya meminang tunang orang. Jadi, pada sesiapa yang dah suka dengan seseorang tu, cepat-cepatlah masuk meminang. Kalau dia dah jadi tunang orang, meloponglah korang nanti~~~
Tapi, korang tahu tak yang korang boleh dapat ganti rugi kalau putus tunang?
Dah la masa bertunang keluar duit beribu-ribu, nak buat hantaran bagai. Tapi tiba-tiba mintak putus tunang pulak, banyak cantik! Mungkin perkara ni pernah jadi kat korang atau orang yang korang kenal. Bila jadi macam ni, mesti ada pihak yang rasa teraniaya.
Tapi masalah ni sebenarnya boleh selesai, kalau kita tahu adanya undang-undang untuk kes macam ni. Selain peruntukan undang-undang, ada juga pandangan ulama dalam hal ni.
Ikut Mazhab Maliki, kalau seorang perempuan tu batalkan pertunangan tanpa alasan munasabah, maka segala yang dah dibagi oleh pihak lelaki mesti dipulangkan. Tapi kalau lelaki yang putuskan pulak, segala pemberian yang dibagi pihak lelaki tetap jadi hak mutlak pihak perempuan. Mazhab Syafie dan Hanbali pun ada pendapat yang sama.
Tapi kalau putus tunang tu jadi dengan alasan yang munasabah, Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah ada bagi jawapan iaitu:
“Setiap keaiban (sama ada aspek fizikal, mental atau akhlak) yang boleh menjauhkan pasangan antara satu sama lain, atau keaiban tersebut boleh menghalang perkahwinan dari mencapai tujuannya yang sebenar iaitu mendapat rahmat dan kasih sayang, ia layak diberikan khiyar (hak untuk membatalkan akad)…” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Itu dari segi pendapat para ulama, tapi dari segi undang-undang pulak sebenarnya kat negara ni dah pun ada peruntukan undang-undang syariah dan sivil untuk kes macam ni. Contohnya kita boleh tengok Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
“…maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu…” – Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.
Dalam peruntukan undang-undang sivil pulak, tak ada peruntukan khusus pasal kes putus tunang ni. Tapi ada bab yang boleh dikaitkan dengan kes macam ni dalam undang-undang kontrak yang dikenali sebagai Breach of Contract of Marriage. Kita boleh rujuk satu kes yang jadi pada tahun 1969.
Ini adalah kes Nafsiah lawan Abdul Majid, ia jadi bila Nafsiah tuntut ganti rugi sebab Abdul Majid mungkir janji untuk kahwin dengannya. Nafsiah juga kemukakan dokumen perjanjian bertulis sebagai bukti dan kata Abdul Majid dah menggodanya sampai buat dia percaya dengan janji lelaki tu. Nafsiah akhirnya menang dalam kes ni.
“Mahkamah memutuskan tuntutan ganti rugi kerana mungkir janji untuk berkahwin (breach of promise to marry) sama dengan tuntutan ganti rugi kemungkiran kontrak (breach of contract). Hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,200 kepada plaintif.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Jadinya, selain dari pergi Mahkamah Syariah, kes putus tunang ni juga boleh ke Mahkamah Sivil. Sebabnya, Mahkamah iktiraf perjanjian untuk berkahwin sebagai satu kontrak. Hal ni membuktikan yang kedua-dua sistem undang-undang kat Malaysia tak pinggirkan kes-kes macam ni.
Jadinya, janganlah korang berani-berani nak bagi janji palsu kat sesiapa. Sebabnya, setiap apa yang kita buat kat orang tu ada kaitan dengan maruah dan juga tak terlepas dari peruntukan undang-undang.
Melayu kaya dengan adat dan budaya, korang tahu tak maksud di sebalik sirih junjung?
Dah puas cerita pasal hukum-hakam dan undang-undang, sekarang nak cerita pulak pasal adat orang Melayu. Sebabnya, bangsa Melayu ada macam-macam adat terutama sekali dalam hal tunang dan kahwin. Kalau kita perasan, dalam majlis macam ni antara benda yang selalu digunakan adalah daun sirih. Tapi kita tahu tak maksud sebenar di sebalik daun sirih tu?
Kalau ikut adat tradisional Melayu, dalam upacara merisik atau meminang, diorang selalu akan gunakan tepak sirih sebagai pembuka kata dan sirih junjung sebagai hantaran. Maksud sirih junjung kat sini adalah ia melambangkan kasih sayang bertingkat-tingkat yang dibawa oleh rombongan peminang/pengantin.
Pasal tepak sirih pulak, ia selalunya dibawa ke rumah perempuan untuk meminang. Tepak sirih tu akan dibalut dengan kain dan lepas tu diserahkan kepada keluarga perempuan.
“Sebelum hajat disampaikan, pihak perempuan menyorongkan tepak sirih penyambut yang dibalas oleh pihak lelaki dengan menyorongkan tepak sirih pengantar.” – Zubaidah Sual, Budayawan. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Lepas tu, kedua-dua pihak akan buka balutan dan makan daun sirih tu dengan pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Tapi…
“… tepak sirih turut berfungsi untuk menolak pinangan. Caranya, keluarga perempuan akan menterbalikkan isi kandungan dalam kain di atas tepak sirih maka apabila dibuka, pihak keluarga perempuan sudah mengetahui apa yang berlaku.” – Zubaidah Sual katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain tu, majlis pertunangan ni jugak selalunya dikaitkan dengan berbalas pantun. Bak kata pantun:
Agak lama dipuput bayu,
Muncul ribut menyerang kebun;
Apa guna jadi Melayu,
Kalau takut berbalas pantun.
Tapi sekarang ni, sirih dan pantun dah tak berapa diamalkan lagi. Semuanya sebab masyarakat sekarang ni tak didedahkan dengan budaya dan adat begini.
“Adat ini boleh dikatakan semakin hilang dan dilupakan oleh generasi baharu. Ibu bapa pada zaman ini juga semakin moden dan tidak mahu menerima tradisi ini, hanya mereka yang mengetahui betapa bernilainya seni warisan bangsa ini untuk disimpan untuk generasi akan datang akan berusaha untuk meneruskannya.” – Zubaidah Sual katanya kepada Utusan Malaysia.
Cermin diri baik-baik sebelum ambil keputusan untuk kahwin
Menurut BH Online, dilaporkan lebih dari seratus ribu pasangan Islam bercerai dari tahun 2014 sampai Julai 2016. Selangor, Sabah dan Johor mencatatkan kadar perceraian tertinggi. Untuk tahun lepas pulak, antara jangka masa perkahwinan yang paling singkat dicatatkan jadi kat Terengganu iaitu bercerai dalam tempoh 24 jam.
Menurut laporan tu lagi, pasangan yang berumur antara 26 sampai 30 tahun adalah yang paling ramai bercerai dan kebanyakannya berkahwin tak sampai 5 tahun. Antara punca perceraian ni adalah macam suami gila seks, kerja bersyif, tak ada kesefahaman, poligami, curang, campur tangan pihak mertua dan sebagainya.
Apa yang lebih membimbangkan, kajian juga dapati lebih dari 20 peratus pasangan Islam yang bercerai adalah kerana masalah kewangan. Semuanya adalah kerana, pasangan ni dikatakan masih tak bersedia dalam menjalankan tanggungjawab rumah tangga, terutama sekali dalam soal duit. Sebab itulah Nabi pesan kepada kita supaya berkahwin bila mampu.
“Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya.” – Hadis riwayat Abu Daud.
Jadinya, cerminlah diri kita ni baik-baik sebelum ambil apa-apa keputusan. Sebabnya, setiap keputusan itu hadir dengan tanggungjawab. Tapi kepada sesiapa yang dah bertunang tu, tahniah kitorang ucapkan dan jaga diri baik-baik. Darah manislah katakan~~~
Online News Malaysiaby Khabar Malaysia
Demikianlah Artikel Bertunang tanpa sedar? Ini hukum yang kita kena tahu
Anda sekarang membaca artikel Bertunang tanpa sedar? Ini hukum yang kita kena tahu dengan alamat link https://khabarmalay.blogspot.com/2018/03/bertunang-tanpa-sedar-ini-hukum-yang.html