Judul : Suami artis tipu 153 pelabur
link : Suami artis tipu 153 pelabur
Suami artis tipu 153 pelabur
SEORANG ibu kepada empat anak mendakwa dirinya dijadikan ‘kambing hitam’ oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri apabila dilantik sebagai orang tengah dalam skim pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian mencecah RM2.4 juta.
Wanita terbabit, Nurul Hazwani Shuib, 31, mendedahkan, Datuk Seri yang juga suami kepada seorang penyanyi terkenal di era 90an itu dikatakan memperdaya seramai 153 orang pendeposit yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 35 peratus daripada hasil pelaburan kononnya tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurutnya, dia dilantik sebagai pengarah pemasaran sebuah syarikat untuk mencari pelabur yang kebanyakan terdiri dari kalangan saudara mara dan kenalan rapatnya membabitkan pelaburan antara RM200 sehingga RM150,000 seorang.
Katanya, kutipan dilakukan bermula Julai 2016 lalu, bagaimanapun selepas sekitar empat bulan beroperasi, dia mula sedar ia satu penipuan.
Akibat penipuan itu, katanya, dia kini terpaksa berdepan pelbagai tindakan undang-undang selain hubungannya dengan saudara mara dan rakan-rakan menjadi renggang.
“Selain saya dilantik sebagai pengarah, saya turut melabur lebih RM200,000 sehingga terpaksa gadai tanah milik keluarga kerana terpedaya dengan janji manis lelaki itu.
“Sudah setahun lebih saya menyendiri, malu nak berhadapan dengan orang sehingga perniagaan online yang saya usahakan sejak beberapa tahun yang menjadi pendapatan utama saya juga terjejas. Semuanya angkara Datuk Seri itu.
“Kini saya hanya mengharapkan sumber pendapatan daripada suami yang merupakan seorang penjawat awam,” katanya.
Menceritakan kembali bagaimana dia boleh berkenalan dengan Datuk Seri berusia 40 tahun itu, Nurul Hazwani berkata, segalanya bermula lebih setahun lalu apabila Datuk Seri terbabit diperkenalkan melalui seorang rakan niaga dari Singapura.
“Setelah beberapa kali berhubung, Datuk Seri mempelawa saya menjadi rakan niaga dalam syarikat berorentasikan pelaburan di Bursa Malaysia yang bakal diterbitkan. Mungkin disebabkan saya mempunyai ramai kenalan dari kalangan usahawan online.
“Lagipun, dengan integriti saya ada, meyakinkan lagi untuk mereka melaburkan wang dalam jumlah besar sehingga ada yang mencecah RM100,000 seorang semata-mata demi mendapatkan keuntungan berganda,” katanya.
Menurutnya, dengan penampilan yang berkeyakinan, apatah lagi Datuk Seri terbabit sering didampingi tokoh-tokoh politik dan pegawai kanan penjawat awam termasuk kerabat diraja menambahkan lagi kepercayaan dia kepada lelaki berkenaan.
“Cuma, setelah empat bulan berlalu, saya mula curiga apabila sejumlah besar pelabur mengadu mereka gagal memperoleh keuntungan dijanjikan. Malah, sebahagiannya turut menerima cek tendang.
“Apabila ditanya pelbagai alasan diberikan sehingga kesudahannya nombor telefon saya sudah kena block dan sukar untuk saya menghubunginya,” katanya.
Berikutan itu, Nurul Hazwani berkata, dia membuat laporan mewakili pelabur di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, Selangor, sekitar tahun 2016.
Bagaimanapun, katanya, dia difahamkan sehingga kini Datuk Seri berkenaan masih lagi bergiat aktif dengan kegiatannya menyebabkan dia bimbang mungkin ada lagi yang menjadi mangsa baharu.
“Apa yang saya dan semua pelabur harapkan agar Datuk Seri terbabit diheret ke muka pengadilan dan mendapat hukuman setimpal. Saya juga baru tahu yang Datuk Seri itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penipuan,” katanya yang mengadu masalah tersebut di pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya menyediakan khidmat guaman bagi membuat tuntutan sivil untuk menuntut jumlah wang yang dilaburkan.
“Kita memandang serius isu ini. Melalui peguam Pembela BN, kita akan bekerjasama dengan polis bagi menyelesaikan kes ini.
“Kepada masyarakat di luar, kita nasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan skim penipuan sebegini sehingga membawa kerugian besar. Saya sarankan rujuk kepada Bank Negara terlebih dahulu untuk mengetahui sesuatu pelaburan itu sah ataupun tidak,” katanya.
The post Suami artis tipu 153 pelabur appeared first on Berita Viral.
| Online News Malaysiaby Khabar Malaysia
Demikianlah Artikel Suami artis tipu 153 pelabur
Anda sekarang membaca artikel Suami artis tipu 153 pelabur dengan alamat link https://khabarmalay.blogspot.com/2018/02/suami-artis-tipu-153-pelabur.html