Judul : Saya pelakon tahap tiga
link : Saya pelakon tahap tiga
Saya pelakon tahap tiga
Mula dikenali melalui drama Hati Perempuan, pelakon Saharul Ridzwan, 28, melihat ada empat proses yang harus dilalui seorang pelakon sehingga dirinya berada pada tahap membanggakan.
Menganggap dirinya masih baru, Saharul melihat sudut awal pembabitannya dalam lakonan sebagai satu proses pembelajaran buat dirinya.
“Pelakon Esma Daniel pernah berkongsi dengan saya mengenai perjalanan kerjaya pelakon itu ada empat tahap. Tahap pertama selalunya pelakon baru akan dianggap kayu dan tahap kedua adalah tahap pelajaran.
“Tahap ketiga pula apabila kita gunakan teknik dan mekanikal dalam lakonan manakala tahap keempat disebut tahap lakonan ‘method’.
“Pada masa ini, saya melihat diri sendiri dan beberapa pelakon lain seusia berada di tahap tiga,” katanya.
Bagi mengekalkan nama dalam industri, Esma menasihatinya untuk kekal di tahap tiga. Telahnya, apabila sudah masuk ke tahap empat, pelakon akan berdepan kesukaran dan hanya boleh diguna pakai seandainya bermain dalam lakon teater.
Ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) minggu lalu, Saharul bersyukur apabila dua drama lakonannya, Kapcai Ayah dan Trauma turut dicalonkan.
Saharul juga tidak pasti pernah dicalonkan atau tidak sebelum ini tetapi menganggap dirinya masih baru dalam industri ketika itu dan pencalonan itu baginya adalah proses pembelajaran.
Mengenai peluangnya untuk menang pada majlis yang bakal berlangsung 3 November depan, Saharul tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang dalam mana-mana kategori kerana ramai lagi pelakon berbakat turut dicalonkan.
“Peluang menang atau tidak, saya serahkan sepenuhnya kepada juri. Saya bersyukur dicalonkan kerana kedua-dua karya itu ada kekuatan tersendiri.
“Tambah pula kerana bekerja dengan dua pengarah yang saya suka, Heykal (drama Kapcai Ayah) dan Jinggo (drama Trauma),” katanya.
Akui masih terkejut dengan pencalonan dua drama itu, Saharul enggan berat sebelah apabila ditanya karya mana yang menjadi pilihan dan berpeluang ke hadapan dalam ASK2017.
Katanya, kedua-dua drama itu mempunyai penceritaan yang sarat drama dan mesej jelas mengenai sosial.
“Drama Kapcai Ayah bercerita pada sudut kemerdekaan dan mempunyai kekuatan pada simbolik hubungan antara ayah, anak dan semangat merdeka.
“Manakala drama Trauma pula adalah genre seram triller pertama lakonan saya yang ideanya lahir daripada DFKL (Drama Festival Kuala Lumpur). Ia mempunyai banyak ‘plot twist’ menarik,” katanya.
Dalam pada itu, Saharul juga mula berjinak-jinak dalam bidang muzik melalui penghasilan single pertama, Buku Putih, berkolaborasi dengan komposer popular Ajai.
Kata Saharul, lagu itu masih dalam peringkat ‘mastering’ dan Ajai merancang untuk menghasilkan video muzik lagu itu.
“Saya belum sempat bertemu dengan Ajai untuk berbincang mengenai langkah seterusnya. Tapi Ajai ada beritahu mahu hasilkan video muzik sebelum melancarkan lagu itu secara rasmi.
“Kebetulan pula saya sibuk dengan penggambaran drama terbaru, Zahir Tak Terucap untuk slot Zehra, TV3,” katanya.
Selain lakonan dan terbaru bidang muzik, Saharul juga mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang lain seperti pendidikan.
Tanpa berselindung, Saharul akui ditawarkan untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar di kolej tempatan.
Telahnya, segelintir masyarakat beranggapan pelakon tiada pelajaran dan dia mahu mengambil peluang ini untuk membuang persepsi itu daripada masyarakat.
“Saya juga merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang aviasi (penerbangan). Sebelum ini saya pernah mengikuti pendidikan dalam bidang itu untuk peringkat diploma.
“Tidak semestinya saya kena ada sarjana dalam bidang pendidikan untuk berkongsi pengalaman dan motivasi kepada pelajar. Pendidikan itu luas dan apa saja peringkat sarjana muda adalah sama.
“Waima belajar subjek ‘sekecil alam’ sekali pun, ia tetap pendidikan. Saya mahu gunakan pengalaman dan pendidikan yang ada untuk berkongsi dengan mereka,” katanya.
Selain itu, Saharul juga menyimpan hasrat untuk menulis buku dek minatnya dalam bidang penulisan sedari dulu. Apa saja perancangan masa depan bergantung pada ruang dan peluang yang diperolehi.
Saharul yang berkahwin dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 29, pada 16 September 2016 dan dikurniakan anak lelaki, Muhammad Luth Ali pada 6 Jun lalu, akui kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.
The post Saya pelakon tahap tiga appeared first on Berita Viral.
| Online News Malaysiaby Khabar Malaysia
Demikianlah Artikel Saya pelakon tahap tiga
Anda sekarang membaca artikel Saya pelakon tahap tiga dengan alamat link https://khabarmalay.blogspot.com/2017/10/saya-pelakon-tahap-tiga.html